Wednesday, October 5, 2011

Wahai hati, bersabarlah..

“ Berikan berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang, yang ketika musibah, mereka berkata “ “Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan Kepada-Nya kita dikembalikan. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka ialah orang-orang yang mendapat petunjuk”. ( Al-Baqarah : 155-157 ).

Dalam hidup ini kita sentiasa diduga oleh Allah. Kita tidak pernah tahu bila kita akan diduga. Mungkin hari ini, esok atau lusa. Bukan mudah bagi kita untuk menghadapi ujian dan dugaan yang diberikan oleh Allah. Orang pernah berkata " Bersabarlah. Setiap perkara ada ujiannya". Bagi mereka yang kuat dan tabah pasti akan menempuhi dengan tenang tetapi bagi mereka yang lemah mungkin susah bagi mereka. Sebagai umat Islam adalah lebih baik jika kita bersabar dan berdoa agar dijauhkan daripada segala musibah dan bencana. Langit tak selalu cerah, malam tak selalu ada bintang dan hidup tak selalunya indah seperti yang kita impikan.

Ya, kadang kala kita diuji dengan bentuk kematian, kehilangan, kesakitan dan seumpamanya tetapi tahukah kita sebenarnya di sebalik ujian tu tersembunyi seribu satu hikmah yang hanya dapat dilihat dengan mata hati.

Rasulullah SAW bersabda : “Apa pun yang menimpa diri seorang mukmin dari kepayahan, kesakitan, kesusahan dan apa pun keresahan yang dirasakannya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian dari keburukan-keburukannya.” ( HR. Muslim).

Jika kita merasai kepayahan insyaAllah Allah akan membantu kita menghapuskan sebahagian daripada keburukan kita. Allah tidak pernah membezakan hambanya. Apabila diri diuji dengan sesuatu yang kadang kala di luar kemampuan kita, itu bukanlah bermakna diri ini adalah jahat, malang atau sebagainya tetapi ia adalah wasilah untuk menjadikan kita lebih tabah menghadapi dunia yg penuh pancaroba kerana ALLAH Maha Pengasih dan Maha Penyayang dan tidak menzalimi hambaNya.

"Sungguh,Allah tidak akan menzalimi seseorang walaupun sebesar zarah,dan jika ada kebajikan(sekecil zarah),nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan pahala yang besar dari sisiNya".

(An-Nisa',ayat 40)

Tazkirah untuk diri ini dan juga yang lain.

Ciri-ciri lelaki idaman wanita.

Ini adalah ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seseorang lelaki. Lelaki adalah pemimpin, imam bagi sesebuah organisasi. Rupa paras tidak penting. Yang penting adalah:


Kuat agamanya : Biar sibuk sekalipun, solat fardu tetap terpelihara. Utamakanlah pemuda yang taat pengamalan agamanya. Lihat saja Rasulullah menerima pinangan Saidina Ali buat puterinya Fatimah. Lantaran ketaqwaannya yang tinggi biarpun dia pemuda paling miskin. Utamakanlah pemuda yang jujur membimbing dan memelihara iman anda.


Baik akhlaknya : Ketegasannya nyata tetapi dia lembut dan bertolak-ansur hakikatnya. Sopan tutur kata gambaran peribadi dan hati yang mulia. Rasa hormatnya pada warga tua ketara. Mudah di bawa berbincang. Tidak terlalu berahsia.


Tegas mempertahankan maruah : Pernahkah dia menjengah ke tempat-tempat yang menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya sebagai seorang Islam? Adakah dia jujur sebagai pelindung maruah seorang perempuan?

Amanah : Jika dia pernah mengabaikan tugas yang diberi dengan sengaja ditambah pula salah guna kuasa, lupakan saja si dia.


Pemurah tetapi tidak boros: Dia bukanlah kedekut tapi tahu membelanjakan wang dan harta dengan bijaksana. Setiap nikmat yang ada dikongsi bersama mereka yang berhak.


Tidak liar matanya : Perhatikan apakah matanya kerap meliar ke arah perempuan lain yang lalu-lalang ketika berbicara. Jika ya jawabnya, dia bukanlah calon yang sesuai buat kamu.


Terbatas pergaulan : Sebagai lelaki dia tahu dia tidak mudah jadi fitnah orang, tetapi dia tidak mengamalkan cara hidup bebas.

Rakan pergaulannya : Rakan2 pergaulannya adalah mereka yang sepertinya. Sebaik-baik teman adalah teman yang soleh.

Bertanggungjawab : Rasa tanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh mana dia memperuntukkan dirinya untuk ibu bapa dan ahli keluarganya. Jika ibubapanya hidup melarat sedang dia hidup hebat, nyata dia tidak bertanggungjawab.


Tenang wajah :Apa yang tersimpan dalam sanubari kadang2 terpancar pada air muka. Wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak.


Renung-renungkan dan selamat beramal.